Friday, October 24, 2008

Krisis Kredit 2008: Apabila Melampaui Batas

Fitrah kejadian, semuanya mempunyai batasan yang telah ditentukan Pencipta. Lihatlah pada peredaran planet, bulan dan bintang, tetap pada orbit masing-masing.

Namun di kalangan manusia, ada mereka yang menganggap kebebasan adalah mutlak. Lantas, pemahaman ini menjadikan ramai yang bertindak melangkaui batas fitrah kejadian.

Krisis kredit masa kini adalah manifestasi sikap manusia yang lupa akan batasan masing-masing. Apabila ketamakan dianggap baik (greed is good), maka lahirlah kehodohan dalam kegiatan manusia mencari keuntungan duniawi.

Kini, dalam kegawatan krisis yang meruncing, institusi kewangan dipersalahkan. Akibat dari sikap tamak, institusi kewangan menjadi agen pengurup wang yang kemudian meminjamkan wang tersebut kepada mereka yang memerlukan. Hasil dari riba, mereka mendapat habuan lumayan.

Mengenakan faedah atau riba merupakan batasan utama yang tidak patut dilanggar kerana ia telah ditetapkan oleh Pencipta. Agama Islam dengan keras mengharamkan riba. Agama Kristian dan Judaism, pada asalnya begitu juga. Apabila batasan ini dinodai, malapetaka yang dijanjikan akan muncul akhirnya (rujuk al-Qur'an 2:276-279).

Kes melampaui batas yang seterusnya, wujud dalam cara sistem kewangan dikendalikan. Secara logika akal, si pemberi pinjam mestilah mempunyai jumlah wang yang lebih dari jumlah yang hendak dipinjamkan. Sebaliknya, dalam sistem kewangan sekarang, jumlah yang dipinjamkan adalah berganda-ganda melampaui deposit yang ada. Maka, sekali lagi Krisis Kredit sekali ini menjadi hukuman kepada manusia yang terus-menerus melampaui batas.

Perhatikan pula kepada isu pinjaman sub-prima yang menjadi punca kepada permasalahan sekarang. Istilah sub-prima itu sendiri membawa maksud 'di bawah kelas utama'. Ia merujuk kepada mereka yang tidak punya kemampuan untuk membayar balik pinjaman. Tetapi, mereka tetap mendapat pinjaman dari institusi kewangan!

Tanyakan persoalan ini ke dalam diri, "Jika anda tidak punya kemampuan untuk membuat bayaran balik pinjaman perumahan, adakah anda akan menerima tawaran bank untuk pinjaman tersebut?"

Sekiranya jawapan yang diberi adalah ya, anda sudah melampaui batas. Maksud di sini, melampaui batas kemampuan untuk membayar balik pinjaman. Dan sudah pasti, jika pinjaman tetap dibuat, malapetaka kewangan akan melanda diri.

Dahsyatnya tsunami kredit sekarang, ianya berlaku dalam skala yang besar. Manusia rata-rata sudah melampaui batas!

Justeru, manusia perlu kembali kepada fitrah asal kejadian. Jangan melampaui batas!

Agama Islam menyediakan satu sistem ekonomi yang begitu menyeluruh dari segi kepercayaan/ideologi, akhlak dan tingkah laku serta undang-undang perlaksanaan kehidupan. Semuanya berjalan serentak dengan harmoni dalam ruang lingkup yang tidak membatasi fitrah Ilahi.

No comments: