Friday, October 10, 2008

Kaedah Mengatasi Krisis Kredit

Mohd Nahar Mohd Arshad
University of Tasmania, Australia

Kekayaan material tidak luas skopnya. Rumah kediaman, tanah ladang, haiwan ternak, kenderaan, wang, emas permata dan anak-pinak, itulah antara perkara-perkara yang dijelaskan di dalam surah Ali Imran ayat 14 berhubung kekayaan material.

Dalam konteks ekonomi masa kini, nilaian harta-harta yang disebutkan di atas (kecuali anak-pinak), biasanya diterjemahkan dalam bentuk kertas. Misalnya, kita mempunyai saham dan bon yang berkaitan dengan hartanah, komoditi dan sebagainya.

Krisis hutang/kewangan 2008 yang berpusat di AS menyaksikan kekayaan material yang dijana oleh ekonomi berasaskan riba, tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Nilai hartanah di Amerika Syarikat (AS) merudum, pasaran saham merosot teruk, dan tekanan inflasi terus meningkat.

Lebih buruk lagi, situasi di atas wujud dalam keadaan hutang-piutang yang tinggi di kalangan isi rumah, syarikat-syarikat, malahan kerajaan AS sendiri.

Kebanyakan isi rumah di AS sekarang berhadapan dengan nilai bersih kekayaan yang negatif. Bayangkan; kebanyakan mereka berhutang untuk membeli rumah, saham dan keperluan harian! Malang minimpa apabila nilai rumah dan saham yang dibeli jatuh dari nilai belian.

Rumah dan saham yang dahulu dianggap sebagai satu pelaburan, kini menjadi biawak hidup yang terpaksa ditanggung. Hendak dijual, tiada pembeli yang membida. Ini berikutan sikap bank yang kini waspada memberi hutang dan sentiment pengguna yang lemah.

Untuk mengatasi masalah ini, pakar ekonomi konvensional mengesyorkan agar kegiatan memberi hutang digalakkan kembali. Ini sesuatu yang ironi!

Tetapi itulah hakikat sistem ekonomi sekarang. Ia sangat bergantung kelangsungannya dengan ‘mesin’ hutang!

Hutang ibarat oksigen dalam sistem ekonomi yang ada. Tanpa oksigen, manusia boleh mati kelemasan. Begitulah juga keadaannya dengan sistem ekonomi sekarang.

Melihat kepada krisis sekarang, satu alternatif sistem kewangan baru perlu difikirkan. Cadangan sistem mata wang emas yang pernah hangat suatu ketika dahulu wajar difikirkan semula.

Selain itu, mereka yang ditindas dengan riba dan hutang perlu dibebaskan. Al-Qur’an dengan jelas menerangkan kaedah dan jalan keluar kepada masalah hutang.

Dalam surah al-Baqarah ayat 279 dan 290, Allah berfirman: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. ... Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

No comments: