Tuesday, February 12, 2013

http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130212/ek_04/Memahami-simptom-simptom-stress-dalam-kewangan


Dr. Mohd Nahar Mohd Arshad
Petikan dari Utusan Malaysia, 12 Febuari 2013


Tidak ada belenggu yang lebih menjerat melainkan apabila seseorang itu hidup berlebih dari kemampuannya. Asas utama dalam membina kestabilan kewangan ialah untuk berbelanja mengikut kadar kemampuan diri. Namun, dengan trend yang membudayakan  hidup berhutang untuk berbelanja, ramai yang gagal pada perkara asas ini.

Isu ini biasanya berlaku kepada golongan berpendapatan tengah di mana mereka mempunyai akses kepada kredit dan pada masa yang sama terpaksa mengimbangkan antara keinginan dan kemampuan. Hidup secara bersederhana wajar menjadi panduan tetapi apabila keinginan menguasai diri, kemudahan kredit yang ada sering disalah guna sehingga menjerumuskan diri ke kancah hutang.

Jadi  bagaimanakah kita dapat mengetahui bahawa kita sebenarnya hidup melebihi dari kadar kemampuan? Tidak mempunyai tunai mencukupi untuk memenuhi keperluan-keperluan asas adalah petanda terakhir kepada musibah kewangan diri. Namun, terdapat beberapa petanda awal yang perlu kita sedari sebelum musibah di atas melanda.

Tidak mempunyai simpanan kecemasan adalah petanda awal yang perlu diambil perhatian. Ya, menabung dengan sikit-sikit lama-lama menjadi bukit itu sesuatu yang hambar, tetapi ia bukanlah sesuatu yang kompleks untuk sukar dilaksanakan. Pun begitu, masih ramai yang kecundang dalam perkara ini.
Berapa banyakkah jumlah untuk simpanan kecemasan? Mempunyai simpanan sebanyak tiga bulan kadar perbelanjaan adalah sesuatu yang munasabah, manakala mempunyai simpanan  enam bulan kadar perbelanjaan adalah sesuatu yang ideal. Bayangkan sekiranya anda hilang pekerjaan, selama manakah anda dapat menampung gaya hidup sekarang?

Maka, kegagalan untuk menyimpan sedikit dari jumlah pendapatan merupakan antara petanda kepada musibah kewangan yang bakal menanti.

Petanda seterusnya ialah apabila bayaran hutang rumah lebih dari jumlah pendapatan seminggu. Misalnya, seseorang yang mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000, peruntukan hutang rumah sewajarnya tidak lebih dari RM1,000. Jika lebih, stress kewangan akan meningkat berikutan desakan untuk memenuhi keperluan-keperluan lain.

Jumlah baki kad kredit kekal sama dengan tahun lepas merupakan petanda stress kewangan yang berikutnya. Jika jumlah nya terus meningkat dari bulan ke bulan, seseorang itu sudah terjerumus dalam krisis kewangan.

Ini merupakan petanda stress kewangan yang penting kerana hutang kad kredit adalah mahal dan melibatkan perbelanjaan gaya hidup seperti percutian. Tidak seperti hutang rumah yang boleh meningkatkan ekuiti seseorang, hutang kad kredit biasanya melibatkan perbelanjaan untuk sesuatu yang kurang produktif.
Petanda stress kewangan seterusnya ialah apabila seseorang itu membeli barangan yang mahal melalui tawaran pembiayaan tanpa faedah dengan harapan dia mampu melunaskannya nanti.

Samada tawaran ini melibatkan “beli sekarang dan bayar tanpa faedah sehingga tahun depan” atau “tiada bayaran bulanan selama enam  bulan”, meskipun menarik tetapi boleh memerangkap.

Masalah biasanya bermula apabila seseorang itu gagal melunaskan bayaran secara penuh mengikut masa yang ditentukan. Caj riba yang dikenakan biasanya tinggi serta menjadi lumrah di mana caj dikira bermula dari tarikh pembelian mula dibuat.

Petanda yang berikutnya ialah apabila seseorang itu menggunakan satu kredit kad untuk membuat bayaran kad kredit yang lain melalui pemindahan baki. Ya, pemindahan baki dapat mengurangkan beban caj yang dikenakan tetapi jika pindahan baki dibuat untuk meningkatkan had siling hutang, itu adalah petanda yang tidak sihat.

Petanda yang terakhir ialah apabila seseorang itu berfikir, Aku tidak sepatutnya membeli barangan ini tetapi…”.