Tuesday, March 14, 2006

Kepentingan kekayaan material

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad


Cabaran masa kini yang melanda umat Islam seluruh dunia menyaksikan bagaimana tiada lagi rasa hormat dan `gerun' sesetengah pihak terhadap Islam dan umatnya.

Salah satu punca utamanya ialah umat Islam lemah dan ketinggalan dari sudut material. Ini mencakupi soal ekonomi, sains dan teknologi serta sosiobudaya.

Ini terbukti apabila tidak ada satu pun negara Islam yang termasuk dalam kelompok negara maju atau kuasa besar ekonomi dunia. Kesemuanya tergolong dalam kumpulan negara membangun. Memburukkan lagi, dalam kategori ini, hampir separuh negara Islam termasuk dalam kategori negara-negara miskin dan terlalu bergantung dengan sumber alam semula jadi sebagai punca ekonomi.

Aspek spiritual adalah asas kekuatan jiwa seseorang. Untuk mengukuhkannya, kita memerlukan kekayaan dan sokongan material.

Lantas, untuk bangkit dan kembali dihormati, perjuangan dari aspek material perlu diberi perhatian. Perkara paling asas ialah setiap umat Islam perlu berusaha memperbaiki diri dan keluarga masing-masing.

Untuk menjadi yang terbaik, setiap individu Islam perlu kaya spiritual dan material. Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan material. Malah, kita digalakkan berusaha untuk memajukan diri dan keluarga.

Ini kerana, kekayaan material menyediakan jalan dan peluang yang lebih besar untuk kita mencapai kejayaan yang sebenarnya di akhirat. Dengannya kita dapat menunaikan kewajipan agama seperti membayar zakat, menunaikan haji, wakaf dan bersedekah. Kekuatan material juga menjadikan kita lebih dihormati terutamanya dalam dunia materialisme ini.

Pun begitu, Islam mengingatkan kita agar tidak terpengaruh dengan materialisme. Materialisme merupakan fahaman yang meletakkan objektif utama kehidupan adalah untuk mencapai kesenangan dan kejayaan material. Secara langsung, berjaya atau gagalnya seseorang itu dinilai berdasarkan kedudukan materialnya.

Ini merupakan perspektif yang salah kerana pemahaman ini akan disertai dengan keruntuhan moral dan goncangnya sistem nilai sesebuah masyarakat.

Islam menggariskan panduan dalam mengejar kejayaan material. Dalam usaha untuk mencari keuntungan misalnya, nilai dan akhlak Islam perlu dijaga. Soal halal dan haram, kejujuran dan ketelusan, kesopanan dan adab; semuanya telah digariskan dalam Islam. Semua ini akan mengimbangi antara naluri manusia yang cintakan kekayaan dan tuntutan agama yang menekankan aspek kerohanian dan spiritual. Di sini letaknya keindahan agama Islam.

- Mohd. Nahar Mohd. Arshad, ialah Pensyarah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

11 Nov 2005, Utusan Malaysia

No comments: