Monday, March 13, 2006

Alam sekitar sebagai amanah besar

Oleh: MOHD NAHAR MOHD ARSHAD

SEJAK Malaysia mencapai kemerdekaan, beberapa transformasi ekonomi telah dilaksanakan demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan dapat diteruskan.

Daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian, Malaysia kini muncul sebagai sebuah negara perindustrian.

Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa tahap kemajuan ekonomi tidak wajar hanya dinilai berdasarkan angka atau peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.

Ini kerana, ukuran keharmonian dan kemajuan sesebuah negara tidak hanya terletak pada tahap kemampuan ekonominya menghasilkan barangan dan perkhidmatan.

Hakikatnya, angka KDNK hanya mengukur tahap kemajuan ekonomi dari satu aspek (penghasilan barangan dan perkhidmatan) dan pada masa yang sama, tidak mengambil kira perkara-perkara lain yang boleh merosakkan keharmonian kehidupan dalam sesebuah negara seperti peningkatan pencemaran alam, kenaikan kadar jenayah, keruntuhan sistem nilai dan lain-lain.

Kita maklum bahawa alam sekitar merupakan tempat untuk kita mendapatkan sumber-sumber ekonomi.

Eksploitasi keterlaluan terhadap alam sekitar hanya akan memberikan keuntungan jangka masa pendek kepada sesetengah pihak.

Sebaliknya, kemusnahan yang terjadi akan membawa kesan jangka masa panjang yang mampu mengancam keseimbangan ekosistem dan matlamat pertumbuhan ekonomi yang ada kelangsungan.

Justeru, usaha untuk merencana sesuatu projek pembangunan sewajarnya mengambil kira faktor alam sekitar.

Ajaran Islam sendiri menganjurkan agar manusia sentiasa menjaga hubungannya dengan alam sekitar, selain memelihara hubungan dengan Pencipta dan sesama manusia.

Falsafah Islam meletakkan alam sekitar sebagai satu amanah Tuhan kepada manusia untuk menguruskannya sebaik mungkin.

Alam sekitar juga merupakan suatu tanda buat manusia menyedari kewujudan Pencipta.

Selebihnya, alam sekitar turut menjadi sumber wahana ilmu buat kita, di mana pelbagai cabang ilmu terhasil dari pemerhatian dan pemahaman kita terhadap alam sekitar.

Alam sekitar turut menjadi sumber ekonomi dan sumber untuk kita meneruskan survival kehidupan di dunia ini.

Dalam buku tulisan Jared Diamond berjudul Guns, Germs and Steel: The Fates of Human Societies, beliau menjelaskan kaitan di antara faktor geografi dan alam sekitar dalam pembangunan sesebuah tamadun.

Sebuah lagi bukunya bertajuk Collapse: How Societies Choose to Fail or Succeed menerangkan kaitan antara alam sekitar dan keruntuhan sesebuah negara atau ketamadunan.

Jelas bahawa terdapat hubungan yang rapat antara kemajuan manusia dan keadaan alam sekitar.

Pembangunan yang wujud dari falsafah ekonomi kapitalis nyata sekali membawa banyak kemusnahan dan pencemaran terhadap alam sekitar.

Ini terbukti di mana, hanya setelah kesan buruk akibat dari Revolusi Perindustrian di Eropah (bermula pada kurun ke-19) tercetus, aliran berhubung alam sekitar (environmentalis) semakin memuncak.

Antara natijahnya, wujud cabang kajian ekonomi alam sekitar dalam melihat impak pembangunan ekonomi dan kesannya terhadap alam sekitar.

Falsafah kapitalisme yang meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai asasnya percaya bahawa apabila setiap individu berusaha memaksimumkan keuntungan peribadi, masyarakat yang terhasil kemudiannya adalah sebuah masyarakat yang makmur.

Ini tidak semestinya benar. Sebagai contoh, para pengilang yang ingin memaksimumkan keuntungan, akan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa perindustrian ke dalam sungai untuk meminimumkan kos pengeluaran.

Akibatnya, sikap mementingkan diri seperti ini akan mengancam kepentingan bersama apabila sungai yang menjadi sumber air teruk tercemar.

Isu seperti kesan rumah hijau dan pemanasan global, pencemaran sumber air dan udara, penggurunan muka bumi dan pembuangan sisa industri termasuk yang terkini, sisa elektronik terus mengancam keselesaan kehidupan kita meskipun pada masa yang sama, taraf kehidupan manusia semakin meningkat.

Kita harus sedar bahawa alam sekitar juga pandai `merajuk' sekiranya kita alpa dari memuliharanya.

Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) - Ar-Rum:41.

Kejadian banjir lumpur, tanah runtuh dan hujan asid adalah antara contoh bagaimana perkara ini boleh berlaku.

Semuanya bermula akibat dari interaksi yang tidak seimbang antara aktiviti manusia yang melampaui tahap kemampuan alam sekitar untuk melengkapkan satu kitar alam yang sempurna di mana, sumber yang telah digunakan atau pencemaran yang terhasil dapat disediakan atau dineutralkan semula.

* MOHD NAHAR MOHD ARSHAD ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

3 June 2005, Utusan Malaysia

No comments: