Monday, November 10, 2008

Punca Sebenar Penurunan Harga Minyak

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad

harga minyak telah menunjukkan peningkatan yang mencemaskan beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, hanya dalam beberapa minggu mutakhir, minyak kini berada pada paras AS$69 dan ke bawah setong.

Melegakan? Ya! Tetapi sebenarnya penurunan harga minyak pada masa ini hanya bersifat sementara.

Hakikatnya, trend penurunan harga minyak (dan komoditi lain) ketika ini tidak menepati perkaitan antara harga minyak dan keadaan ekonomi.

Lazimnya, kedudukan harga komoditi seperti minyak dan emas adalah tinggi sejurus sebelum dan semasa krisis ekonomi. Tetapi, apa yang diamati sekarang, berlaku penurunan yang mendadak pada harga minyak dan komoditi lain tatkala krisis kewangan global sedang memuncak!

Keadaan ini menimbulkan satu prasangka yang membimbangkan di kalangan ramai pakar ekonomi. Apa sebenarnya yang terjadi?

Teori permintaan dan penawaran minyak/komoditi tidak begitu signifikan untuk menjelaskan trend semasa.

Jawapan sebenarnya berkait rapat dengan sistem mata wang kertas ketika ini.

Duit kertas boleh 'dicipta' dan 'dimusnahkan' dengan mudah. Duit dicipta apabila institusi kewangan memberi pinjaman. Duit dimusnahkan apabila kita membayar balik hutang.

Pembayaran balik hutang, pelupusan hutang dan penguncupan kredit merupakan kaedah duit kertas 'dimusnahkan'. Inilah yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) sekarang.

Apabila duit 'dimusnahkan' bekalannya semakin berkurangan. Kurangnya bekalan duit akan menyebabkan nilai atau harga barangan di pasaran terpaksa turun.

Berikutan dolar Amerika merupakan mata wang utama dunia, maka kita perhatikan harga minyak, komoditi dan apa sahaja yang dinilai dalam dolar mengalami penurunan. Inilah punca utama kepada trend penurunan harga minyak sekarang.

Selain itu, penguncupan kredit di AS akan mengakibatkan kelembapan ekonominya. Ekonomi negara-negara lain akan turut terjejas kerana AS menjadi destinasi eksport banyak negara.

Eksport ke AS yang menurun oleh banyak negara akan membawa kepada kelembapan ekonomi dunia.

Kelembapan ekonomi bermakna penguncupan pendapatan. Ini akan mengakibatkan permintaan barangan dan perkhidmatan menurun, termasuklah minyak.

Namun, faktor ini bukanlah penjelasan utama kepada trend penurunan sekarang.

Apa yang perlu ditegaskan ialah trend penurunan komoditi sekarang bersangkutan dengan masalah sistem kewangan itu sendiri - duit kertas dan riba.
Selagi sistem mata wang tidak diubah (mata wang emas sebagai contoh), krisis ekonomi dan ketidakstabilan harga akan terus berlaku.

No comments: