Wednesday, June 14, 2006

Konsep Untung Rugi Perniagaan Dalam Islam

Berniaga merupakan susaru kegiatan ekonomi yang mulia dan sangat digalakkan dalam Islam. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa sembilan per sepuluh rezeki datang dari perniagaan. Melalui kegiatan periagaan, aktiviti ekonomi digerakkan di mana peluang pekerjaan diwujudkan dan sesebuiah tamadun bangsa berkembang maju.

Sejarah Islam membuktikan bahawa kegiatan perniagaan bukan semata-mata bermotifkan untung. Para pedagang Islam yang bertanggungjawab membawa Islam ke nusantara dan juga ke seluruh pelusok dunia datang bersama cahaya Islam.

Islam tidak mungkin mudah untuk diterima sekiranya para pedagang Islam dahulu tidak mempunyai perwatakan dan karisma yang menarik. Justeru, perkara inilah yang penting untuk kita fahami kerana di dalamnya terkandung konsep perniagaan global, mesra pelanggan, halal dan berkualiti serta beretika.

Perkara ini dapat dikupas dengan memahami konsep untung dan rugi dalam perniagaan itu sendiri. Falsafah ekonomi konvensional menyatakan bahawa sesebuah entiti perniagaan bermatlamat untuk memaksimumkan keuntungan. Untung dari segi kewangan dan material di sini merupakan suatu konsep keuntungan yang pincang kerana aspek rohani dan nilai murni sering dipinggirkan.

Islam melihat untung dan rugi dari aspek material dan juga rohani/spiritual. Dari segi material, setiap perniagaan mungkin memperolehi keuntungan atau kerugian. Sebaliknya, dari aspek kerohanian, setiap aktiviti perniagaan akan diberikan ganjaran pahala yang besar jika dijalankan dengan amanah, jujur dan beretika. Namun, jika perniagaan dijalankan dengan melanggar batas-batas agama, hanya dosa yang akan diperolehi.

Lantaran itu, setiap aktiviti perniagaan mempunyai beberapa kemungkinan pulangan dan risiko dari segi material dan juga spiritual. Ringkasnya, seseorang peniaga mungkin mendapat untung dan juga pahala, atau mendapat untung dan dosa, atau mendapat rugi dan pahala, atau mendapat rugi dan dosa dari aktiviti perniagaan yang dijalankannya.

Islam membenarkan pengambilan untung. Pada masa yang sama, untung mestilah dijana melalui aktiviti perniagaan yang sihat dan menjaga batas-batas agama. Dengan ini, seseorang peniaga itu akan mendapat untung dan juga pahala. Ini merupakan suatu kedudukan yang terbaik. Peniaga tersebut bukan sahaja memperolehi kebaikan di dunia menerusi untung perniagaannya, malah aktiviti tersebut memberikannya ganjaran pahala yang besar. Contoh ini dapat dilihat dalam sejarah Rasulullah SAW (sebelum kerasulannya) di mana baginda mendapat untung yang banyak hasil dari perniagaannya di Syam.Baginda juga jujur dan amanah dalam membawa hasil dagangan yang dimiliki oleh Siti Khadijah.

Peniaga yang mengalami kerugian tetapi jujur, amanah dan menjaga batas-batas agama dalam berniaga juga dipandang tinggi dari perspektif Islam. Meskipun rugi dari segi kewangan, namun peniaga ini mendapat ganjaran pahala kerana kebaikan dan kesabarannya.

Sebaliknya, Islam mengutuk peniaga yang hanya mementingkan keuntungan material dan kewangan tetapi mengabaikan batas-batas keagamaan dalam aktiviti perniagaan. Peniaga seperti ini mungkin mendapat untung yang banyak, tetapi aktiviti perniagaan yang dijalankannya hanya mendapat dosa dan kutukan dari Allah. Peniaga seperti ini biasanya ingin untung cepat dengan menipu dalam perniagaan atau terbabit dalam aktiviti perniagaan yang ditegah oleh syarak.

Kemungkinan terakhir ialah seseorang peniaga yang mendapat kerugian dan juga dosa dari perniagaannya. Ini merupakan kedudukan terakhir dan paling malang untuk seseorang peniaga.

Jelas kepada kita bahawa Islam lebih mementingkan keuntungan akhirat (mendapat pahala) berbanding keuntungan dunia yang sementara. Garis panduan dalam muamalat Islam tidak pernah menghalang seseorang peniaga itu dari mencari keuntungan. Pada masa yang sama, garis panduan di dalam Islam membimbing seseorang itu ke arah keredhaan Ilahi.

Di sinilah penegasan terhadap nilai-nilai korporat yang telus, berwibawa, berakhlak dan mematuhi batas-batas keagamaan menjadi keutamaan. Dengan menjaga nilai-nilai ini jugalah seseorang peniaga Islam akan dipandang tinggi. Inilah rahsia bagaimana Islam mudah diterima suatu ketika dahulu apabila ia dibawa oleh para pedagang Islam.

No comments: