Wednesday, June 14, 2006

Akauntabiliti Menerusi Ihsan

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Melihat kepada persaingan global yang semakin sengit, penekanan harus diberikan kepada usaha untuk meningkatkan tahap kecekapan bagi menghasilkan barangan yang berkualiti dan perkhidmatan yang bertaraf dunia. Ini merupakan satu strategi berkesan yang dapat menjadikan sesuatu produk atau jenama itu ampuh untuk bertahan bagi jangka masa panjang. Pengabaian aspek kualiti dan ketidakecekapan pengurusan sumber pola, hanya akan mendatangkan keuntungan dalam jangka pendek, tetapi membawa kerugian yang besar dalam jangka masa panjang.


Dari sudut ekonomi, kecekapan (efficiency) dapat dinilai dalam dua aspek. Pertama, kecekapan agihan sumber, yang bermaksud menggunakan sumber-sumber ekonomi untuk menghasilkan barangan atau perkhidmatan yang paling diperlukan dan dikehendaki oleh sessebuah masyarakat. Di sini, kita menyedari akan akan hakikat sumber-sumber ekonomi yang terhad dan kita berusaha untuk mengelakkan sebarang pembaziran dengan tidak menghasilkan barangan yang tidak diperlukan dan berkualiti rendah.

Kedua, kecekapan dari sudut pengeluaran. Ini dicapai apabila kita berjaya mengeluarkan sesuatu barangan atau perkhidmatan dengan kos terendah yang mungkin. Di sini, penggunaan teknologi yang terbaik serta produktiviti yang tinggi amat diperlukan untuk mencapainya.

Untuk mencapai kedua-duanya, aspek kualiti insan itu sendiri merupakan faktor paling utama kerana manusialah yang dapat menentukan tahap kecekapan, produktiviti dan seterusnya kualiti barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan.

Dalam proses penghasilan barangan atau perkhidmatan, aspek kualiti berkait rapat dengan aspek kawalan (supervision) terutamanya dalam pengawalan para pekerja. Ini merupakan sesuatu yang sukar dan mahal tetapi terpaksa dilakukan oleh para majikan bagi memastikan tahap kepatuhan pekerja yang tinggi.

Akibatnya, kos pengeluaran akan meningkat dan barangan atau perkhidmatan yang disediakan terpaksa dijual dengan harga yang tinggi. Ini seterusnya boleh mengurangkan tahap daya saing sesebuah syarikat mahupun sesebuah negara jika dilihat dalam konteks global.

Perkara ini boleh di atasi sekiranya setiap insan itu mempunyai kawalan dalaman diri. Dalam Islam, perkara ini dapatr difahami melalui konsep ihsan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa pada suatu hari, malaikat Jibril datang menyerupai seorang lelaki lalu bertanya kepada Nabi Muhammad saw tentang Islam, iman, ihsan dan hari kiamat. Dan apabila ditanya tentang apakah itu ihsan, Rasulullah saw. menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu

Penghayatan konsep ihsan ini sangat penting kerana ia berkaittan dengan rasa tanggungjawab dan akauntabiliti.

Justeru, jika elemen ini dapat diterapkan dalam diri setiap insan, nescaya kita tidak lagi memerlukan kamera litar tertutup (CCTV) atau sebarang bentuk pengawasan untuk kita memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan.

Kesedaran akan wujudnya ‘pengawasan’ Tuhan ini juga akan meningkankan lagi nilai kepercayaan (trust) sesama kita. Dalam konteks pengeluaran, hubungan antara majikan-pekerja akan lebih erat bila mana kepercayaan antara kedua-dua pihak meningkat. Ini seterusnya dapat mengurangkan kos pengeluaran, (apabila kos pengawasan pekerja dapat dikurangkan) tanpa menjejaskan produktiviti atau kualiti kerja kerana, setiap pekerja akan sentiasa memberikan mutu kerja yang terbaik dari diri masing-masing.

No comments: