Saturday, March 21, 2009

Episod Marah-marah Semasa Gawat

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
University of Tasmania, Australia


Apabila ekonomi merudum, ramai yang marah-marah. Marah kerana dibuang kerja, tiada bonus, kerugian perniagaan dan dikejar pemiutang adalah antara
sebab yang biasa didengar dalam keadaan ekonomi yang gawat.

Kegawatan Ekonomi 2008 membawa cerita baru dalam episod marah. Sekarang, kerajaan di negara-negara kapitalis juga marah.

Kisah termahsyur ialah marahnya Barak Obama dan Kongres Amerika dengan eksekutif AIG. Syarikata kewangan gergasi yang mendapat pakej bantuan kecemasan ini menggunakan sebahagian besar dana tersebut untuk bayaran bonus eksekutif-eksekutifnya.

Di Australia, kemarahan yang sama juga sedang melanda. Kerajaan Rudd sedang berusaha melaksanakan undang-undang yang memberikan kuasa kepada para pemegang saham bagi menghadkan pemberian bonus kepada eksekutif tertinggi syarikat.

Sebenarnya, isu bonus yang melampau kepada eksekutif syarikat (terutamanya CEO) sudah lama menjadi isu. Ledakan kemarahan dari pihak kerajaan baru sahaja tercetus.

Aktivist pemegang saham sudah lama mempersoalkan kewajaran bayaran bonus yang melampau kepada para eksekutif. Ironi bukan, apabila ketua pegawai eksekutif dijanjikan bayaran berjuta dollar sebelum memulakan tugas! Kerja belum tentu kualiti, duit sudah menggunung tinggi! Masakan apabila syarikat mengalami kerugian, si eksekutif masih mendapat bonus berganda?

Persoalan kemanusiaan juga timbul dalam isu ini. Wajarkah minoriti kecil mendapat jutaan dollar atas kemelaratan pekerja bawahan yang majoriti? Pekerja bawahan biasanya ‘terpaksa’ dibuang bagi syarikat distrukturkan semula. Tetapi, apabila ini dibuat dengan eksekutif tinggi syarikat mendapat habuan berganda, nilai kemanusiaan dalam diri eksekutif dipertikaikan.

Pembuangan pekerja membawa kepada kesan negatif sosial dan ekonomi yang lebih besar dari persepsi makro-ekonomi.

Erupsi Obama dalam contoh AIG di atas tercetus kerana eksekutif AIG yang tidak cemerlang, bersenang dengan duit cukai rakyat. Rakyat sedang merana dek ekonomi yang gawat, mengapa pula duit cukai mereka disalah guna?

Campur tangan pihak kerajaan dalam isu ‘paying terjun emas’ ini melambangkan buruknya model pengurusan syarikat dalam sistem kapitalis. Penglibatan kerajaan juga melambangkan para pemegang saham sudah hilang daya melawan kuasa eksekutif.

Sudah sampai masanya ketidakadilan ini disanggah! Struktur kontrak mudharabah dalam Islam merupakan alternatif terbaik yang boleh diguna pakai.

Fikah dalam kontrak mudharabah ini sudah lama dikupas oleh para cendikiawan Islam bagi menjaga keadilan yang sepatutnya dalam konteks hubungan agen-prinsipal yang harmoni.

No comments: