Tuesday, April 22, 2008

Review of my book: Hidup Kaya Tanpa Riba

Iqra: Mengumpul, belanja harta secara berhemah

From Berita Harian, 23 April 2008

Iqra: Mengumpul, belanja harta secara berhemah

JIKA ingin kaya, jauhi diri daripada riba dan banyakkan bersedekah. Malangnya dalam dunia materialistik masa kini, persoalan riba dan kaedah membina kekayaan serta menguruskan kewangan peribadi jauh bercanggah daripada yang dianjurkan Islam. Islam menganjurkan umatnya menjadi kaya. Justeru untuk memahami persoalan kaya daripada perspektif Islam, buku Hidup Kaya Tanpa Riba boleh dijadikan panduan bagi individu membina kekayaan melalui pengurusan kewangan peribadi. Buku ini mengungkap persoalan membina kekayaan dalam perspektif Islam mendepani cabaran abad ke-21 yang menghurai konsep seperti kaya, rezeki, zuhud dan kepentingan mengingati mati sebagai dorongan mengejar kekayaan dunia tanpa mengabaikan akhirat.

Buku ini turut memberi pelbagai tip dan strategi penting dalam soal membina kekayaan, pengurusan kewangan peribadi yang praktikal dan mudah diikuti selain membawa pembaca memahami serta berusaha mencari rezeki halal lagi diberkati. Hakikatnya ilmu berkaitan pengurusan dan kewangan peribadi penting tetapi tidak banyak pendedahan mengenainya terutama berkaitan ilmu pengurusan berasaskan ajaran Islam menyebabkan ramai tidak tahu mengatur sistem kewangan mereka. Ini ditambah dengan kejahilan terhadap riba yang mendominasi setiap sudut kehidupan manusia menjadikan pengurusan harta mengikut kehendak syarak semakin mencabar sedangkan Islam jelas mengharamkan amalan riba.

Pengenalan buku Hidup Kaya Tanpa Riba membawa pembaca memahami mengenai kekayaan daripada kaca mata Islam dengan melihat sejarah awal perkembangan Islam bermula pengorbanan agung Siti Khadijah, peniaga kaya di Makkah. Menggunakan kekayaan yang ada, dakwah Islam digerakkan, begitu juga sahabat Baginda SAW, Uthman bin Affan yang terkenal dengan kekayaan sanggup membeli perigi untuk diwakafkan bagi kegunaan orang ramai.

Sahabat Nabi SAW yang berharta bukan saja berkorban jiwa dan raga untuk Islam malah, mereka turut berkorban kekayaan demi agama yang tercinta. Lantaran, Islam hebat kerana acuan ajarannya membawa manusia mencapai tahap rohani dan akhlak yang tinggi. Itulah yang diperlukan umat Islam hari ini iaitu ilmu memantapkan pengurusan kewangan secara Islam serta strategi meningkatkan ekonomi, membina kekayaan serta mengatur perbelanjaan mengikut kehendak Islam.

Antaranya, umat Islam dituntut membelanjakan harta kekayaan diperoleh dengan cara berhemah seperti firman Allah yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, iaitu orang yang beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.” - (Surah al-Baqarah, ayat 2-3) Buku hasil tulisan pensyarah fakulti ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Nahar Mohd Arshad turut menggariskan enam perkara penting yang perlu dipenuhi dalam membelanjakan harta kekayaan dalam bab 16. Turut dibincangkan ialah impak krisis kewangan serta perspektif Islam mengenai hutang dan panduan asas mengurus hutang menepati kehendak masyarakat hari ini yang kebanyakan hidup dikelilingi masalah pengurusan kewangan. Buku Hidup Kaya Tanpa

Riba secara umumnya tidak memfokuskan perihal riba secara khusus sebaliknya mengembangkan topik utama yang dapat mencegah umat Islam daripada terbabit dengan amalan riba.

Judul: Hidup Kaya Tanpa Riba
Penulis: Mohd Nahar Mohd Arshad
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM21 (Semenanjung Malaysia), RM24 (Sabah dan Sarawak)

No comments: