Thursday, November 03, 2011

Penduduk dunia 7 Billion Satu Ancaman?

Mohd Nahar Mohd Arshad
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi,
Universiti Islam Antarabangsa

Secaea rasmi populasi dunia kini sudah mencecah 7 billion dengan sambutan simbolik kelahiran bayi yang ke-7 billion di Filipina baru-baru ini. Salah satu sebab peningkatan ini ialah kerana kemajuan teknologi perubatan telah memungkinkan kadar survival kelahiran yang tinggi dan jangka hayat manusia yang panjang.

Tidak semua pihak gembira dengan pertambahan penduduk dunia. Persoalan bagaimana sumber-sumber ekonomi yang terhad dapat digunakan bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang semakin ramai telah mencetuskan kebimbangan di kalangan sesetengah pihak.

Kebimbangan melampau berhubung persoalan ini telah lama wujud. Pandangan Thomas Robert Malthus (1798) dalam An Essay on the Principle of Population, misalnya menyebut bahawa pertumbuhan populasi yang biasanya adalah lebih pantas dari bekalan makanan akan membawa kepada kesan yang buruk melainkan pertumbuhan populasi ini dikawal (melalui kematian) dengan kekangan moral atau peperangan, kebuluran dan penyakit.

Ekstrimnya pandangan di atas sehingga menjustifikasikan peperangan sebagai cara pengimbangan kadar pertumbuhan populasi. Kebimbangan ini kemudiannya sedikit nerkurangan dengan penemuan kaedah mengawal kehamilan melalui pil perancang dan sebagainya. Negara seperti China sebagai contoh menjalankan dasar satu keluargga satu anak sebagai kaedah mengawal kelahiran bayi.

Persoalan utama di sini ialah wajarkah kebimbangan terhadap kedudukan sumber yang terhad membuatkan manusia melihat pertambahan jumlah populasi sebagai satu ancaman survival manusia itu sendiri?

Dari pandangan Islam, persoalan sumber-sumber ekonomi yang terhad adalah diakui secara relatif. Terhadnya sumber-sumber ekonomi adalah kerana ilmu manusia yang terbatas. Juga terhadnya sumber-sumber ekonomi adalah kerana agihan sumber yang tidak saksama dan akibat pembaziran.

Namun Islam menolak pandangan terhadnya sumber secara mutlak. Di dalam surah Ibrahim ayat 32 hingga 34 Allah menjelaskan nikmat sumber alam yang dijadikan buat manusia. Allah turut menegaskan betapa banyaknya nikmat kurniaanNya sehingga tidaklah akan mampu manusia menghitung banyaknya.

Lantaran itu, kebimbangan Malthus terhadap sumber alam yang terhad sehingga mampu menggugat survival manusia adalah satu pandangan dari tafsiran akal yang terbatas.

Maka, pandangan ekstrim yang bersifat individualistik lantas melihat pertambahan populasi sebagai ancaman kepada manusia lain patut ditolak.

Dr. Mahathir semasa memimpin Malaysia pada tahun 1982 pernah membuat gagasan untuk Malaysia mencapai populasi sehingga 70 juta dalam tempoh 115 ke 120 tahun. Sekiranya kadar pertumbuhan penduduk Malaysia kekal sebanyak 1.7 pearatus setahun, jumlah penduduk Malaysia akan meningkat dua kali ganda hanya dalam masa 41 tahun.

Jika Malaysia ingin mempunyai penduduk yang ramai, beberapa pelan transformasi perlu digubal. Untuk mencapai penduduk optimum, sesebuah negara mesti berupaya untuk memastikan tahap kebajikan rakyat terjamin, kesinambungan alam sekitar terpelihara, serta mempunyai dasarstrategik untuk membina dan menggembeling modal insan negara.