Friday, December 26, 2008

Skim Cepat Kaya Wall Street

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
University of Tasmania, Australia

Kisah skandal Bernard Madoff yang mengaibkan Wall Street bakal menutup tirai 2008 yang menjadi tahun Krisis Kewangan alaf baru. Banyak teladan terutama dalam hal pengurusan kewangan dapat dijadikan iktibar.

Krisis kewangan 2008 menunjukkan bahawa sistem kewangan yang berasaskan rizab berkanun, wang kertas dan riba sangat rapuh. Serapuh sistem cepat kaya ala Madoff (skim piramid), bezanya hanya kerana sistem kewangan sekarang mendapat sokongan dari pelbagai institusi yang diiktiraf undang-undang.

Menyorot apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), sistem kewangan semasa begitu bermaharajalela mengambil duit semua. Kita dikenakan caj untuk membuat deposit. Juga dicaj apabila membuat pinjaman. Lebih parah, wang cukai rakyat ‘diambil’ atas nama menyelamatkan institusi kewangan apabila ia gagal.

Di samping ‘keistimewaan’ di atas, institusi kewangan juga berkuasa mencipta dan memusnahkan wang. Wang dicipta apabila pinjaman diberikan dan wang dimusnahkan apabila hutang dibayar. Di antara aktiviti mencipta dan memusnahkan wang ini, riba/faedah dicaj sebagai untung kepada institusi kewangan.

Natijahnya, wang menjadi begitu banyak dan hanya segelintir manusia yang faham dengan kaedah operasi kewangan parasit ini memilikinya. Mereka yang memiliki kekayaan ini terus berfikir untuk menjadi lebih kaya.

Oleh Kerana sistem riba/faedah menjanjikan peningkatan kekayaan berganda, tumpuan utama kegiatan kewangan lebih kepada aktiviti memberi hutang. Pelbagai produk hutang diinovasi dan ditampal dengan label baru dalam kegiatan ‘memusing’ duit yang menjana duit.

Dengan kewujudan pelbagai produk kewangan, aktiviti memusing duit oleh institusi kewangan moden menjadi bertambah kompleks. Ramai pakar kewangan mengakui bahawa mereka sudah hilang realiti dengan dunia kewangan masa kini.

Dengan dana yang membesar saban tahun, dan tekanan untuk memberikan pulangan yang memuaskan kepada pelabur, pakar-pakar kewangan ini bertemu dengan mereka yang lebih pakar, iaitu Bernard Madoff (dan konco-konconya).

Madoff yang mempunyai reputasi ‘cemerlang’ dalam hal memusing duit (secara piramid) ibarat orang mengantuk yang disorongkan bantal.

Maka bergabunglah kaedah memusing duit yang diiktiraf undang-undang ciptaan manusia dengan sistem memusing duit ala Madoff atau Pak Man Telo.

Janji Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276 bahawa riba tidak akan meningkatkan kekayaan, malah akan menyusutkannya adalah benar! Buktinya, skandal Madoff menunjukkan betapa kedua-dua aktiviti riba yang dicela Allah SWT (Al-Baqarah: 275-281) akhirnya bersekongkol dan kemudiannya rebah. Bersamanya lenyap sejumlah besar kekayaan.